Jarum Jatuh Sekalipun Akan Didengari

TS Muhyiddin Yassin dilaporkan berminat untuk bertanding jawatan lebih tinggi pada Disember ini. Naib Presiden itu menafikan beliau pernah berkata demikian keesokan harinya. Hakikatnya, semua pihak sudah tahu beliau mungkin berbuat demikian. Beliau mempunyai alasannya tersendiri. Tindakan TS Muhyiddin mendapat pujian daripada Tun Dr Mahathir Mohamad. TDM berharap lebih ramai pemimpin UMNO berani mengeluarkan kenyataan demikian dan jujur untuk memperbaiki parti tunjang BN itu.

Persoalannya, apa akan terjadi kepada TS Muhyiddin selepas ini. Tempoh sekarang hingga Disember masih lagi panjang. Hampir tujuh bulan. Macam-macam boleh berlaku. Sudah pasti beliau akan disanjungi dan dimusuhi. Yang membimbangkan ialah jika beliau dilabelkan sebagai individu yang mengambil kesempatan. Kesempatan apa?

Bagi yang menjerit-jerit mahu PakLah berhenti atau segera membuat exit plan, pernyataan itu adalah sesuatu yang menyegarkan. Sesuatu yang dinanti-nantikan. Setidak-tidaknya memaparkan apa yang mereka luahkan selama ini disambut oleh seorang pemimpin kanan. Seorang Naib Presiden. Walaupun, mereka tidak tahu apa jawatan yang ingin ditandinginya, ia memaparkan TS Muhyiddin juga gelisah dengan perkembangan semasa. Beliau juga mahu parti diperkukuhkan. Perkukuhkan cara mana? Penyokong yang inginkan perubahan ini pasti berpendapat ada juga pemimpin yang berani menyatakan sesuatu perlu dilakukan sekarang seperti juga kenyataan TDM dan anaknya, Dato’ Mukhriz. Kini barisan itu dipanjangkan meliputi keinginan DS Dr Mohd Khir Toyo. Kumpulan ini single out bahawa Paklah punca utama kepada kemerosotan sokongan terhadap BN. Ada pemimpin parti kawan kini berani berkata sedemikian. Mereka kecundang tetapi salahkan Paklah. Betul ke pandangan itu?

Bagi yang amat mencintai Paklah, mereka sudah pasti melihat ia satu perkembangan yang tidak sihat dan menjelekkan. Mengapa menyuruh Paklah berhenti atau keluar segera. Di luar ketradisian. Apakan tidaknya, ia tidak selari dengan budaya menghormati pemimpin. Pemimpin mesti dihormati dan UMNO sentiasa memastikan peralihan tampuk pimpinan berjalan lancar dan teratur. Ini kerana UMNO sentiasa dipandang lawan dan kawan. UMNO tidak boleh tersilap langkah. Jika UMNO tersilap maka padahnya turut dirasai oleh orang lain terutama parti kawan yang sentiasa mengharapkan parti itu kuat dan tidak berpecah. Melainkan golongan opportunist yang mahu melihat parti itu kecundang dan tersungkur. Bagi yang menyayangi Paklah, sudah pasti mereka mahu Paklah terus memimpin dan memperkukuhkan UMNO mengikut caranya. Biarlah Paklah dan pemimpin UMNO lain merencanakan strategi mereka seterusnya.

Apa pun, sebagai orang Melayu dan rakyat negara ini, semua perkembangan yang berlaku dalam UMNO akan dilihat dari dekat dan diteropong dari jauh. Apa yang berlaku akan terus diamati. Waima jatuhnya jarum ke lantai akan terasa kuat bunyinya apabila memperkatakan tindakan susulan selepas ini. Hakikatnya, Melayu tidak boleh berpecah dan bercakaran. UMNO yang sudah sebati sebagai institusi sosial Melayu perlu dipertahankan demi kelangsungan Alif, Ba dan Ta bangsa Melayu. UMNO adalah parti bangsa berbanding PAS yang mendukung ideologi Islamnya dan PKR yang diterajui oleh pemimpin Melayu memperkenalkan konsep sama rata, sama rasa seperti juga Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP selama ini.

Datuk Ibrahim Yahaya (Dunia Tiger)